Pantai Kerachut, Pulau Pinang, 23 Ogos 2023: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB; syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan Pemegang Konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, JSAHMS) hari ini mengadakan kerjasama dengan pihak Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) dalam menganjurkan “Program Merdeka Hike @ Taman Negara Pulau Pinang”.
Majlis dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah JKSB, Encik Mohd Azha Mohd Abdullah dan Penguasa TNPP, Puan Tan Poai Ean. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Encik Faisal Shahbudin dan Pengarah PERHILITAN Pulau Pinang, Encik Arham Syazaili Yahya Ariff. Usaha sama kedua-dua agensi ini terjalin menerusi komitmen dan penglibatan seramai 70 orang kakitangan dan sukarelawan dari JKSB dan ranger TNPP.
Pada program berkenaan, kesemua peserta telah mendaki selama 1 jam 30 minit dengan jarak sejauh 6.7 kilometer perjalanan dari pintu masuk Taman Negara di Teluk Bahang menuju ke Pantai Kerachut, Pulau Pinang. Antara aktiviti menarik yang dilaksanakan adalah kibaran jalur gemilang serta laungan kemerdekaan di Pantai Kerachut.
“JKSB amat berbesar hati atas sokongan dan penyertaan yang diberikan oleh Taman Negara Pulau Pinang dalam menganjurkan program ini sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66. Ia merupakan program yang julung kali ini diadakan bertujuan untuk mengajak warga JKSB dan TNPP bagi menghargai nikmat kemerdekaan negara di samping kesedaran terhadap kepentingan menjaga kecergasan fizikal”, kata En Azha.
Pada program sama, JKSB turut menyumbangkan peralatan kepada petugas TNPP serta kelengkapan kerusi dan meja yang ditempah khas. Sumbangan ini bertujuan untuk memudahkan petugas TNPP ketika menjalankan tugas dan menyediakan fasiliti lengkap kepada orang awam yang berkunjung di Pantai Kerachut.
Menurut En Azha, JKSB sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. Hal ini termasuk memfokuskan kepada usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan serta membangunkan keharmonian komuniti. Ia diharap dapat memberi inspirasi kepada sektor swasta yang lain untuk turut terlibat dalam program-program CSR seperti ini.
Dalam pada itu, Penguasa TNPP, Puan Tan Poai Ean turut menyambut baik inisiatif yang dianjurkan oleh JKSB. Hal ini kerana program berkenaan diadakan bertepatan dengan ulang tahun penubuhan Taman Negara Pulau Pinang yang ke-20.“Taman Negara Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun 2003, 10 April bagi tujuan memulihara khazanah alam semulajadi TNPP dan memacu pertumbuhan ekonomi setempat melalui penglibatan masyarakat dalam sektor ekopelancongan, seterusnya mewujudkan peluang green job untuk komuniti setempat supaya dapat menjana pendapatan, meningkatkan taraf hidup serta berdaya saing selaras dengan arus pembangunan negara’’, kata Puan Tan.
Tambahnya, pendekatan ini adalah selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 dan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030. TNPP akan meneruskan usaha ini untuk mempergiatkan lagi hebahan konservasi khazanah TNPP dengan masyarakat kita dan sektor swasta melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).
— TAMAT —
Info Korporat:
Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, diwujudkan pada Ogos 2008 untuk mereka bentuk, mentadbir dan mengendali Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang.
Taman Negara Pulau Pinang diwartakan pada 10 April 2003 dan merupakan satu-satunya Taman Negara yang digazetkan di bawah Akta Taman Negara 1980.
Untuk Pertanyaan Lanjut, Sila hubungi:
Encik Taha Rusydi Mohd Nazri
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Jambatan Kedua Sdn Bhd
012-273 7685
taha_rusydi@jambatankedua.com.my
Puan Norizan Salim
Timbalan Penguasa
Taman Negara Pulau Pinang
013-575 2724
izan@wildlife.gov.my



