PENYU SUMBANGAN PERALATAN KEPADA PETUGAS JABATAN PERIKANAN NEGERI PULAU PINANG
Pantai Kerachut, Pulau Pinang, 1 Februari 2023: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB; syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan Pemegang Konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, JSAHMS) hari ini mengadakan kerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) bagi menganjurkan Program Pemuliharaan Habitat Penyu di Pantai Kerachut, Pulau Pinang.
Majlis dirasmikan oleh Pengerusi JKSB, Datuk Saat Esa dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Puan Yazeeeren A. Bakar. Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah JKSB, Encik Mohd Hanif Mastuki, Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Encik Faisal Shahbudin, Penguasa Taman Negara Pulau Pinang, Encik Arham Syazaili Yahya Ariff dan Pengurus AkuaTAR, Encik Kaharudin Md Salleh.
Usaha sama kedua-dua agensi ini terjalin menerusi komitmen dan penglibatan seramai 50 orang kakitangan dan sukarelawan dari JKSB dan JPNPP. Turut terlibat sama sukarelawan dan ranger dari Taman Negara Pulau Pinang.
Menurut Datuk Saat, JKSB sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. Hal ini termasuk memfokuskan kepada usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan serta membangunkan keharmonian komuniti.
“JKSB amat berbesar hati atas sokongan dan penyertaan yang diberikan oleh Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang dalam menjayakan program yang amat bermakna ini. Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberikan perlindungan kepada habitat penyu yang sedia ada di Pulau Pinang, malah memberi kesedaran kepada kita semua untuk melindungi habitat flora dan fauna yang kian terancam”, kata Datuk Saat.
Dalam pada itu, Pengarah JPNPP, Puan Yazeeeren A. Bakar turut menyambut baik inisiatif yang dianjurkan oleh JKSB. Hal ini kerana program sebegini dapat menggalakkan lagi penglibatan syarikat-syarikat swasta yang lain untuk mengadakan program CSR dalam memulihara spesies penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut, Pulau Pinang.
“Ancaman kepupusan penyu berpunca faktor semulajadi serta tangan manusia dan usaha mengekalkannya perlu membabitkan semua pihak bagi memastikan negara tidak kehilangan sumber haiwan maritim itu. Penyu merupakan antara spesies terancam dan menghadapi penurunan kadar populasi yang serius. Jadi sudah tiba masanya kita belajar dan cuba mendekati hidupan alam yang lain agar kita memahami setiap kejadian atas muka bumi ini dan lebih menghargai apa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita”, kata Puan Yazeeeren.
Pada majlis sama, JKSB turut menyumbangkan peralatan kepada petugas JPNPP dan menaja papan tanda Hatcheri Pengeraman & Penetasan Telur Penyu di Pusat Penerangan Penyu Pantai Kerachut. Ia bertujuan untuk memelihara habitat dan telur penyu yang berjaya dikumpul dalam usaha meningkatkan kadar pembiakan penyu serta statistik penyu yang menjadi dewasa dan kembali untuk membiak.
— TAMAT —
Info Korporat:
Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, diwujudkan pada Ogos 2008 untuk mereka bentuk, mentadbir dan mengendali Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang.
Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut adalah salah satu Cawangan Jabatan Perikanan Pulau Pinang. Pusat Penyu ini telah ditubuhkan pada tahun 1995 dan terletak di Pantai Kerachut, Teluk Bahang, Pulau Pinang. Pada tahun 10 April 2003 Pantai Kerachut telah diwartakan di bawah Akta Taman Negara 1980 (Akta 226). Pusat Penyu ini berfungsi untuk melindungi penyu daripada ancaman kepupusan, mengembalikan semula habitat semula jadi penyu, menjalankan program-program penetasan, pemuliharaan dan penyelidikan serta menyediakan maklumat dan pelbagai aktiviti pendidikan berkaitan penyu.
Untuk Pertanyaan Lanjut, Sila hubungi:
Encik Taha Rusydi Mohd Nazri
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Jambatan Kedua Sdn Bhd
012-273 7685
taha_rusydi@jambatankedua.com.my
Encik Muhammad Noor Hadi Muhammad Yusof
Ketua Pusat Penerangan Penyu Pantai Kerachut
Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang
014-2075162
hadiyusof94@gmail.com



