PROGRAM BUBUR LAMBUK PERDANA 2023

Permatang Pauh, Pulau Pinang, 5 April 2023: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB; syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan Pemegang Konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, JSAHMS) hari ini telah mengadakan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara, UiTM Pulau Pinang bagi menganjurkan Program Bubur Lambuk Perdana 2023.

Majlis yang julung kalinya diadakan ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Encik Faisal Shahbudin dan Timbalan Rektor Penyelidikan Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni, UiTM Pulau Pinang, Professor Madya Ts. Dr Kay Dora Abd Ghani. Usaha sama kedua-dua organisasi ini terjalin menerusi komitmen dan penglibatan hampir 300 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan JKSB serta warga kerja, pensyarah dan pelajar dari UiTM Pulau Pinang.

Turut terlibat sama dalam program ini adalah tiga gariah masjid dari Kawasan sekitar universiti berkenaan. Antaranya, Masjid Jamek Al-Hidayah (Jalan baharu). Masjid Batu (Permatang Pauh), dan Masjid Timah (Permatang Pauh).

Menurut En Faisal, JKSB sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. Hal ini termasuk memfokuskan kepada usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan serta membangunkan keharmonian komuniti.

“Program rewang untuk memasak dan mengedarkan bubur lambuk pada bulan Ramadan merupakan aktiviti tahunan JKSB sejak 2021. Untuk tahun ini, kami membuat keputusan meluaskan jaringan perkongsian dengan rakan strategik daripada sektor akademik. Oleh yang demikian, pihak JKSB amat menghargai segala jasa baik atas sokongan dan penyertaan yang diberikan oleh UiTM Pulau Pinang dalam merealisasikan program yang amat bermanfaat ini”, ujar En Faisal.

Dalam pada itu, Timbalan Rektor Penyelidikan Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni, UITM Pulau Pinang, Professor Madya Ts. Dr Kay Dora Abd Ghani berkata, Program Bubur Lambuk Perdana UITM-JKSB 2023 bertujuan mencapai satu matlamat yang sama untuk berkongsi nikmat sesama masyarakat setempat yang memberikan nilai kemanusiaan kepada institusi dan industri. Program seumpama ini merupakan medium penting bagi UITM Cawangan Pulau Pinang meningkatkan kerjasama berimpak bersama rakan strategik industri dalam mencapai matlamat Tanggungjawab Sosial Universiti berasaskan Pelan Perancangan Strategik UIT 2025.

“Pihak universiti merakamkan setinggi penghargaan kepada Jambatan Kedua Sdn Bhd atas kesudian menyumbangkan dana dalam menjayakan program ini. Selain itu, penglibatan masyarakat setempat bersama warga UiTM Cawangan Pulau Pinang juga meningkatkan libat sama pelbagai pihak dalam program-program berimpak institusi pengajian tinggi”, tambah Dr Kay Dora.

Persiapan menyediakan bubur lambuk telah bermula seawal jam 8.30 pagi. Sebanyak 11 kawah bubur lambuk telah dimasak secara bergotong-royong. Hasilnya, sejumlah 3,000 bungkusan bubur lambuk telah diagihkan kepada warga UiTM dan JKSB serta penduduk di sekitar kawasan UITM Cawangan Pulau Pinang.

-TAMAT-

Info Korporat:

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, diwujudkan pada Ogos 2008 untuk mereka bentuk, mentadbir dan mengendali Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang.

Untuk Pertanyaan Lanjut, Sila hubungi:

Encik Taha Rusydi Mohd Nazri
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Jambatan Kedua Sdn Bhd
012-273 7685
taha_rusydi@jambatankedua.com.my

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.