Kepala Batas, Pulau Pinang,19 Mei 2023: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB; syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan Pemegang Konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, JSAHMS) hari ini mengumumkan sumbangan dekorasi lanskap taman terapi di Kompleks Darul Hanan, Kepala Batas, Pulau Pinang. Ia menerusi program Majlis Raikan Syawal sempena sambutan Aidilfitri yang diadakan di pusat jagaan berkenaan.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Kewangan JKSB, En Abd Razak Abd Rahman yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Encik Faisal Shahbudin. Hadir sama, Pengerusi Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Kompleks Darul Hanan, Dato’ Dr. Roslan Ahmad dan Dato’ Haji Sazali Hussein serta lebih 30 sukarelawan yang juga merupakan kakitangan JKSB.
Menurut En Razak, JKSB sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. Hal ini termasuk memfokuskan kepada usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan serta pembangunan keharmonian komuniti.
“JKSB sentiasa prihatin akan kepentingan dalam menjaga kesejahteraan dan keharmonian warga emas di Pulau Pinang. Hal ini termasuk memberikan mereka perhatian dan mencurah kasih sayang terutama sekali ketika hari raya yang diraikan. Oleh yang demikian, Program Majlis Raikan Syawal ini telah diadakan buat kali kedua sejak tahun lalu bagi memastikan agar lebih 80 orang penghuni di sini tidak tercicir dalam meraikan keistimewaan Syawal mahupun kegembiraan Aildilfitri seperti orang lain”, Ujar En Razak.
Dalam pada itu, En Razak turut mengumumkan sumbangan dekorasi lanskap untuk taman terapi di Kompleks Darul Hanan. “Seperti tahun-tahun sebelum ini, JKSB sering melakukan program bantuan tetapi hanya dengan sumbangan barangan keperluan kepada pertubuhan atau rumah jagaan di sekitar Pulau Pinang. Untuk kelainan tahun ini, pihak JKSB amat berbesar hati untuk menyumbang dana berjumlah lebih RM20,000 bagi memberi suasana baharu kepada penghuni Kompleks Darul Hanan bersiar-siar di taman terapi ini. Projek ini dijangka bermula pada awal Jun 2023 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Julai nanti”.
— TAMAT —
Info Korporat:
Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, diwujudkan pada Ogos 2008 untuk mereka bentuk, mentadbir dan mengendali Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang.
Pusat Jagaan Darul Hanan, Pulau Pinang merupakan kompleks warga emas yang dibina di bawah pembiayaan Yayasan Bukhary di atas sebahagian tanah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk penempatan dan penjagaan warga emas. Antara prasarana yang disediakan adalah bangunan asrama, Anjung Terapi, dewan makan, surau, wad terlantar, dewan serbaguna dan bilik seminar. Kompleks ini boleh menampung jumlah maksima warga emas seramai 150 orang dan mula beroperasi pada 1 Februari 2010.
Untuk Pertanyaan Lanjut, Sila hubungi:
Encik Taha Rusydi Mohd Nazri
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Jambatan Kedua Sdn Bhd
012-273 7685
taha_rusydi@jambatankedua.com.my



