JKSB TAJA DANA BERJUMLAH RM25,000 BINA LANDSKAP TAMAN TERAPI BAGI KEGUNAAN WARGA EMAS

Kepala Batas, Pulau Pinang, 3 Ogos 2023: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB; syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan Pemegang Konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, JSAHMS) hari ini menyumbangkan dekorasi lanskap taman terapi untuk kegunaan lebih 80 orang penghuni warga emas di Kompleks Darul Hanan, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Encik Faisal Shahbudin berkata, JKSB sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. Hal ini termasuk memfokuskan kepada usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan serta pembangunan keharmonian komuniti.

“KSB sentiasa prihatin akan kepentingan dalam menjaga kesejahteraan dan keharmonian warga emas di Pulau Pinang termasuk dengan memberikan mereka perhatian dan mencurah kasih sayang. Oleh yang demikian, pihak JKSB amat berbesar hati untuk menaja landskap taman terapi dengan dana berjumlah RM25,000 bagi memberi suasana baharu kepada penghuni Kompleks Darul Hanan bersiar-siar di taman ini,” kata En Faisal.

Tambahnya, taman terapi ini menggabungkan dua jenis dekorasi landskap yang dibina iaitu landskap lembut dan landskap keras dengan menggunakan elemen-elemen semulajadi seperti tumbuhan, air, rupa bumi, struktur dan binaan. Keindahan kawasan ini turut dihiasai dengan ruang santai yang pelbagai bentuk, warna dan struktur yang menarik bagi mewujudkan persekitaran yang harmoni alam selain dapat membantu mengawal suhu dan iklim mikro di ruang berkenaan.

Terdahulu, projek dekorasi landskap taman terapi ini telah diumumkan pada 19 Mei 2023 sempena Majlis Meraikan Syawal bersama Warga Emas di Kompleks Darul Hanan. Projek telah bermula pada pertengahan Julai 2023 dan siap sepenuhnya pada 3 Ogos 2023.

— TAMAT —

Info Korporat:

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, diwujudkan pada Ogos 2008 untuk mereka bentuk, mentadbir dan mengendali Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang.

Pusat Jagaan Darul Hanan, Pulau Pinang merupakan kompleks warga emas yang dibina di bawah pembiayaan Yayasan Bukhary di atas sebahagian tanah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk penempatan dan penjagaan warga emas. Antara prasarana yang disediakan adalah bangunan asrama, Anjung Terapi, dewan makan, surau, wad terlantar, dewan serbaguna dan bilik seminar. Kompleks ini boleh menampung jumlah maksima warga emas seramai 150 orang dan mula beroperasi pada 1 Februari 2010.

Untuk Pertanyaan Lanjut, Sila hubungi:

Encik Taha Rusydi Mohd Nazri
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, JKSB
012-273 7685
taha_rusydi@jambatankedua.com.my

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.