Bukit Gambir, Pulau Pinang, 27 November 2023: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB; syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan Pemegang Konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, JSAHMS) hari ini telah menyumbangkan cermin mata kepada 55 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Batu Maung dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Maung di Pulau Pinang yang mengalami masalah rabun penglihatan.
Majlis serahan diadakan di Pejabat Jabatan Pendidikan negeri Pulau Pinang (JPNPP), Bukit Gambir sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang bersama pegawai dan staf JPNPP. Serahan disempurnakan oleh Ketua Divisyen Operasi JKSB, En Hussin Mohamad kepada Timbalan Pengarah Sektor Perancangan & Pengurusan PPD, Tuan Haji Wan Sajiri Wan Hassan.
Menurut En Hussin, sumbangan cermin mata yang diadakan pada hari ini merupakan sebuah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JKSB di bawah kategori Sinar Sejahtera yang memberi fokus kepada isu-isu kesihatan dan keselamatan. Ia merupakan jalinan kerjasama antara JKSB dan Sektor Pembangunan Murid JPNPP.
“JKSB sentiasa peka dan cakna untuk membantu pelajar sekolah yang mempunyai masalah penglihatan terutama daripada sekolah luar bandar dan keluarga B40 yang kurang berkemampuan. Kami berharap melalui sumbangan yang diberikan ini, ia dapat membantu pelajar dalam meneruskan pembelajaran dengan yakin serta menjadikan kehidupan mereka menjadi lebih produktif dan sejahtera”, kata En Hussin.
Tambahnya, JKSB juga sentiasa komited dalam merealisasikan inisiatif CSR dalam mencapai matlamat syarikat berkenaan. Ia termasuk memberi fokus dalam memperkasakan ilmu pengetahuan, usaha memelihara dan memulihara alam sekitar serta membangunkan keharmonian komuniti.
— TAMAT —
Info Korporat:
Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, diwujudkan pada Ogos 2008 untuk mereka bentuk, membina, mentadbir dan menyelenggara Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang.
Untuk Pertanyaan Lanjut, Sila hubungi:
Encik Taha Rusydi Mohd Nazri
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, JKSB
012-273 7685
taha_rusydi@jambatankedua.com.my



