






































Pada 10 April 2025, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) telah mengadakan Majlis Raikan Syawal 2025 bertempat di AC Hotel, Bayan Lepas. Sambutan ini diadakan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja JKSB setelah sebulan menjalani ibadah puasa.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengerusi JKSB, YBhg. Dato’ Haji Abdul Malik Abul Kassim, yang menzahirkan penghargaan kepada semua kakitangan atas komitmen, dedikasi dan sumbangan berterusan dalam mendukung kemajuan syarikat. Beliau turut menekankan pentingnya membina hubungan yang harmoni dan saling menghormati di tempat kerja.
Para hadirin kemudiannya disajikan dengan pelbagai juadah tradisional yang membangkitkan suasana Hari Raya, sekali gus mencipta pengalaman yang ceria dan penuh nostalgia, khususnya buat kakitangan yang tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman atas tuntutan kerja.
Antara acara yang mencuri perhatian ialah pertandingan Best Dress bagi kategori Lelaki dan Wanita, yang menampilkan kakitangan dalam persalinan tradisional yang anggun dan menarik.
Majlis ini bukan sahaja menceriakan suasana Aidilfitri, malah menjadi ruang untuk merapatkan ukhuwah serta memperkukuh semangat kerjasama antara kakitangan JKSB.
JKSB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan majlis ini. Semoga semangat kekeluargaan ini terus menjadi asas kukuh dalam menyokong misi dan visi syarikat.




