





Pada 16 Januari 2025, satu kunjungan hormat telah diadakan oleh pihak pengurusan tertinggi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Delegasi diketuai oleh Pengerusi JKSB, YBhg. Dato’ Haji Abdul Malik Abul Kassim, diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Dato’ Faisal Shahbudin, Encik Hussin Mohammad (Ketua Divisyen Operasi), Encik Abd Razak Abd Rahman (Ketua Divisyen Korporat), dan Puan Hani Sophia Hilmi (Ketua Komunikasi Korporat).
Pertemuan ini memberi ruang kepada JKSB untuk berkongsi hasrat dan perancangan strategik bagi tahun 2025, termasuk memperkukuh kerjasama dengan Tourism Malaysia Wilayah Utara (TMNR) dalam usaha menjadikan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) sebagai mercu tanda pelancongan yang bukan sahaja ikonik, tetapi juga berimpak ekonomi tinggi kepada negeri.
Selain memfokuskan kepada inisiatif pelancongan, sesi perbincangan turut menjurus kepada peranan JKSB dalam menyokong pembangunan mampan, keterhubungan infrastruktur serta perkongsian kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan kemudahan.



