JKSB SUMBANG EMPAT BUAH KENDERAAN ELEKTRIK TERPAKAI BAGI TUJUAN PEMBELAJARAN DI INSTITUSI PENDIDIKAN & KEMAHIRAN

Batu Kawan, Pulau Pinang, 17 Oktober 2023: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB; syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan Pemegang Konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, JSAHMS) hari ini menyumbangkan sebanyak empat (4) buah kenderaan elektrik terpakai syarikat berkenaan kepada tiga institusi pendidikan dan kemahiran yang terpilih iaitu Kolej Komuniti Kepala Batas Pulau Pinang, IKM Beseri Perlis dan GIATMARA Negeri Kedah.

Majlis serahan diadakan di Pejabat Operasi JKSB di Batu Kawan Pulau Pinang dan dirasmikan oleh Ketua Divisyen Operasi JKSB, Encik Hussin Mohammad yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Faisal Shahbudin. Hadir sama, Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Ts Jasni Bin Mohd Yusoff, Pengarah IKM Beseri Perlis, Encik Mohammad Khairuddin Bin Mohd Asari dan Pengurus GIATMARA Negeri Kedah, Encik Mohamad Razi Bin Shariff.

Pada program berkenaan, JKSB telah menandatangani perjanjian serahan kenderaan elektrik terpakai jenama MITSUBISHI I-MiEV bersama-sama dengan ketiga-tiga pengarah institusi pendidikan dan kemahiran berkenaan.

Menurut En Hussin, sumbangan kereta elektrik terpakai yang diadakan pada hari ini merupakan sebuah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JKSB di bawah kategori Sinar Ilmu yang memberi fokus kepada isu-isu dan usaha-usaha yang melibatkan pendidikan dan ilmu pengetahuan.

“Objektif utama program CSR ini dianjurkan adalah untuk memberi sokongan terhadap pembangunan, latihan dan penyelidikan para pelajar di tiga institusi pendidikan dan kemahiran yang terpilih di sekitar wilayah utara ini. Melalui sumbangan ini juga, JKSB berharap agar ia mampu menjadi nilai tambah dan memantapkan pembelajaran lebih efektif kepada pelajar, khususnya dalam sektor teknologi automotif sejajar keperluan dan permintaan tenaga mahir, di Malaysia,’’ kata En Hussin.

Tambahnya, dengan terlaksananya program ini, diharapkan agar jenama JKSB lebih kukuh di mata masyarakat disamping dapat mengeratkan lagi talian silaturahim di antara JKSB dan pihak berkepentingan yang lain. Beliau juga berharap JKSB akan dapat memperluaskan lagi skala program-program yang bermanfaat seperti ini di masa akan datang.

— TAMAT —

Info Korporat:

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, diwujudkan pada Ogos 2008 untuk mereka bentuk, membina, mentadbir dan menyelenggara Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang.

Untuk Pertanyaan Lanjut, Sila hubungi:

Encik Taha Rusydi Mohd Nazri
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Jambatan Kedua Sdn Bhd
012-273 7685
taha_rusydi@jambatankedua.com.my

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.